Make your own free website on Tripod.com
PEEL AVENUE, KUALA LUMPUR
« August 2017 »
S M T W T F S
1 2 3 4 5
6 7 8 9 10 11 12
13 14 15 16 17 18 19
20 21 22 23 24 25 26
27 28 29 30 31
You are not logged in. Log in
Entries by Topic
All topics  «
Blog Tools
Edit your Blog
Build a Blog
View Profile
Tuesday, 1 March 2005
QUARTERS PWD

Mengimbau kembali sejarah keluarga, ini bukan pertama kali keluarga duduk di Kuala Lumpur. Kali pertama sebenarnya ialah waktu Abah mula mula berkerja selepas habis Technical College . Abah bekerja sebagai technical assisstant DID, dan berulang alik kepejabat dengan basikal oleh kerana rumah sewa ketika itu di Jalan Ang Seng, Brickfields. Dokek yoo. Ketika itu Abah banyak membuat field work dan selalu berulang alik ke Tanjung Karang membuat kerja topo dan survey.

Beberapa minggu selepas Abah balik dari England, kami berpindah ke Kuala Lumpur. Selain dari kain baju, tidak banyak barang barang yang dibawa.

Perabot rumah kerajaan memang sudah disediakan oleh PWD di rumah kerajaan keluarga kami yang pertama di Peel Avenue, off Peel Road, Ceras. Rumah dari batu, dua tingkat, berderet, dan masih wujud sekarang. Tingkap dari kaca dan bingkai besi. Lantai tingkat bawah dari simin, belum ada terrazo atau jubin. Untuk mendapatkan bentuk jubin, tali belati digunakan untuk mencorak batasan persegi semasa simin masih lembab lagi. Lantai tingkat atas dari papan tebal keras disapu shellac, tidak ber krik krak apabila dipijak seperti rumah kampung dahulu. Belum ada parquet.

Tangga simin menyambungkan tingkat bawah dan atas. Di KL lah pertama kali kami merasakan air dari paip dan cahaya lampu dari letrik, semuanya ehsan PWD. Perabot semua dari kayu bershellac dan rotan. Pertama kali kami merasa duduk diatas kusyen kekabu dan makan duduk dikerusi dan meja makan, walhal dahulu bersila sahaja.

Posted by Abang Bosa at 1:25 PM
Post Comment | Permalink
FORK AND SPOON

Sesungguhnya budaya Inggeris ini kami terima dengan tidak banyak soal sebenarnya. It just comes naturally.

Abah menggunakan sudu garfu ketika makan dimeja sambil kami masih lagi selesa makan dengan tangan menjilat jari, tetapi budaya mengobok lauk dengan tangan sudah mula di tinggalkan. Sedikit sebanyak hygiene pemakanan sudah mula diterapkan.

Kami hanya melihat Abah meminum sudu besar minyak ikan Cod Liver Oil tiap tiap kali selepas habis nasi nya. Inilah pengenalan pertama kami kepada vitamin. Kami tidak mengikut tabiat ini oleh sebab Omak sendiri goli goman dengan bau minyak ikan ini. Hanyeee!!...Gambar "Orang Tua Memikul Ikan" di kotak minyak ikan ini masih lagi famous sekarang.

Pertama kali juga lah kami di perkenalkan sarapan pagi roti paun dengan mentega Cold Storage. Dan telur setengah masak. Roti dihantar oleh benggali tiap tiap pagi hari dalam tong besi bulat besar dibasikal nya berserta dengan jualan bun kismis dan kacang kuda. Bun kismis dan kacang kuda ini adalah favourite. Benggali juga menghantar susu lembu segar dalam botol ditinggalkan dipintu rumah tiap tiap pagi. Ini pun hanya Abah saja yang meminum nya oleh kerana Omak tidak suka bau hamish nya 'berbau ***** benggali. Kami pun demikian.

Agak mengambil masa lama juga sebelum kami fasih dengan tangan mana untuk sudu dan garfu.

Posted by Abang Bosa at 1:24 PM
Post Comment | Permalink
BUNGA RAYA

Dihadapan rumah ada laman kecil selebar kangkang kera dengan rumpun bunga raya hibiscus yang mengeluarkan cecairan manis dari putik bunganya. Sebenarnya kami sudah tahu mengenai 'Roselle' dari dahulu lagi.

Jalan raya sungguh dekat dihadapan rumah dengan laluan kereta kereta Ford, Austin dan Morris dan stage bas Tong Foong berwarna perak. Oleh sebab jalan yang begitu dekat dari rumah, Abang Kocik pernah membaling batu memecahkan kaca tingkap bas Tong Foong.

Posted by Abang Bosa at 1:23 PM
Post Comment | Permalink
JIRAN

Jiran kami betul betul harmonis antarabangsa. Tidak ada rasa kekok berkawan rapat dengan Cina, India, Kristian, Eurasian, dan Benggali. Rumah rumah yang mempunyai anjing kami jauhi. Jiran jiran kristian sering membuat perayaan dan parti parti. Di sinilah kami belajar mengenai perayaan Christmas. Sesekali jiran Cina meninggal, dan terpaksa lah tolerate bau colok sampai berhari hari. Tapi melihat keranda mereka di arak keliling jalan dengan tukang nangis di hadapan berpakaian baju guni dan bunyi orkestra 'dung dung cheeh!...dung dung cheeh!.. amat menyeronokkan.

Ada jiran Kristian yang mempunyai piano. Ketika inilah Abang Bosa yang berumur 4-5 tahun pertama kali tertarik minat pada menghayati lagu lagu Inggeris yang berbunyi sedap didengar yang tidak diketahuinya adalah sebenarnya lagu lagu klasik Mozart dan Tchaikovsky dimainkan dengan piano jiran ini. Lagu yang sering dimainkan ialah 'Estudio' oleh Tchaikovsky, dan Piano Concerto.

Waktu jiran India mengadakan upacara perkahwinan, kami mengambil bahagian dengan cara menebeng dijalan raya dihadapan rumah mereka. Dapat juga kami merasakan kueh moruku. Maka bermalam malamlah loceng wel wel dan serunai nafiri membuat bising di neighbourhood itu.

Dari corong corong radio jiran jiran yang bukan Melayu inilah Abang Bosa awal awal terdedah dan pertama kali belajar meminati irama irama lagu orang putih sedap yang lama selepas itu disedari didendangkan oleh nama nama seperti Dean Martin, Frank Sinatra, Patti Page, Doris Day, Connie Francis, Andrews Sisters, Teresa Brewer, Nat King Cole, Rosemary Clooney, Perry Como, Mario Lanza, Slim Whitman, Tex Ritter, Fats Domino, Peggy Lee, Dinah Shore dan Bing Crosby. Dan setelah pandai baca orang puteh barulah mengetahui bahawa diantara lagu lagu ini rupa rupanya ialah Rudolp the Red Nosed Reindeer, White Christmas, Music Music Music, Mona Lisa, Goodnight Irene, A GuyIs A Guy, Don't Let the Stars Get In Your Eyes, Till I Waltz with You Again, The Doggie in the Window (yang rekod 78rpm nya baru dapat dibeli selepas kami pindah ke Jasin Melaka), Secret Love, Three Coins in the Fountain, Oh My Papa, Fire Down Below, 10,000 miles, Indian Love Call, High Noon, Young Love, Blueberry Hill, Manana, Buttons and Bows, Tennessee Waltz, You Belong To Me, Frenesi, Stardust, Amapola, Amor, I Went To Your Wedding, Don't Let the Stars Get In Your Eyes.

Abah, waktu itu, suka menyanyi lagu 'My Bonnie Lies Over The Ocean' dalam bilik mandi. Nasib baik Omak tak tahu makna lagu ini.

Musik awal 50an mempunyai melodi ringan, lirikmenawan, penyanyi wholesome, dan lagu lagunya innocent dan tidak offensive.

Abah pergi kerja dengan bas Tong Foong berwarna silver dan transit di Foch Avenue untuk menaikki bas GTC berwarna hijau ke pejabat DID di Bangunan Sulaiman disebelah stesyen keretaapi KTM sekarang ini. Bas GTC ada yang dua tingkat ketika itu. Semua bas bas ini membawa iklan di badan nya.

Yang ada kereta sendiri waktu itu ialah Ongah Baba dengan kereta Ford T sport tidak berbumbung. Beliau sekeluarga juga berpindah dari kampung dan menetap di Jalan Peel berdekatan rumah kami. Dan kedua keluarga ini sering bertandang tandang.

Posted by Abang Bosa at 1:22 PM
Post Comment | View Comments (1) | Permalink
CHOW CHEE FAN, CHEE CHONG FAN

Barang runcit dapur diambil dari kedai kooperasi kerajaan ditapak stesen Petronas depan Mesjid Shah Alam hujung jalan Cochrane sekarang. Disitulah kami pertama kali mengetahui boleh ambil barang dahulu dan bayar kemudian bila dapat gaji. Segala belian di tulis dalam buku 3 lima (555).

Kedai pakaian superstore besar ialah Robinson dan Gian Singh. Di Robinson ada banyak display alat permainan permainan menarik dibelakang dinding kaca seperti kereta, kapal terbang, kereta api, pistol, dan senapang, dan anak anak patung.


Sayur dan ikan dihantar hari hari oleh peraih Cina berbasikal.

Kampung Bharu terkenal dengan pasar minggu atau Sunday Market nya. Konsep pasar malam ini terletak di Jalan Chow Kit sekarang. Ada banyak makanan makanan seperti mee dan satay, dan kueh mueh dan juga joget lambak dan pertunjukkan pancaragam keroncong seperti 'Rindu Malam' pimpinan Johar Bahar. Abang Anon bermain biola.

Kak Long Iyam dan kak Ngah Debet sekolah Convent Holy Infant Jesus di Jalan Peel, sekolah orang putih. Dihujung Peel Avenue jalan rumah kami terletak kedai kopi Cina disimpang dengan Jalan Peel. Disinilah kami kunjungi tiap malam selepas makan untuk beli kacang goreng groundnuts dan kacang tumbuk dan asam boey dan kuaci cap helang. Omak marah juga kami kemari kerana 'suka sangat makan **** hidung Cina'.

Dan pada petang petang hari ada budak budak Cina lalu didepan rumah mengetok ngetok kayu mengiklankan mee dan kueh tiau Cina yang mengikut dibelakang nya, dengan berteriak "Chow Chee Fan, Chee Chong Fan...." Kami hanya melihat sahaja, tak berani beli walau pun terlior melihat jiran jiran Cina makan dengan 'selap' nya.

Kegembiraan terjalin apabila mendengar laungan Wak Satay yang lalu dengan kandaran sataynya. Bakul dihadapan mengandungi satay mentah dan ketupat timun dan mangkuk mangkuk, dan bakul belakang mengandungi dapur membakar dan bangku kayu dan kipas mengkuang. Bau harum satay bakarnya sampai ke penghujung deretan rumah rumah dijalan itu. Kalau mahu take away, kenalah bawa pinggan dan mangkuk ayan untuk diisi satay dan kuahnya.

Ada juga penjaja berbasikal sarat dengan muatan penyapu, feather duster, terompah kayu, payung kertas dsb nya. Kalau dilihat dari belakang tak nampak penunggang nya. Tapi polis tak tangkap pulak. Polis dulu dulu cerdik.

Lain lain makanan 'instant' yang dijual rumah kerumah ialah kueh lapis dan pulut pulut dan karipap oleh bangsa India ber kaki ayam mengandar dua bakul buluh bertingkat tingkat didepan dan belakang.

Putu piring dan putu mayam bercicah kelapa dan gula melaka atau gula putih dijual dengan basikal juga oleh India India. Satu lagi ialah 'arosmitai' (candy floss) dijual berbasikal. Arosmitai dibuat dari air gula yang dibubuh dalam satu bekas bulat besar dibelakang basikal dan ada tali bersambung dengan roda belakang. Apabila roda belakang yang bertupangdikayuhkan, maka arosmitai akan keluar semakin membesar dari dalam bekas itu. Bagaimana pusingan roda belakang ini boleh menghasilkan arosmitai yang banyak ini sehingga sekarang masih tinggal dilemma memikirkannya.

Walaupun makanan banyak di jual oleh penjaja penjaja di hadapan rumah, Omak masih menggoreng Chok Kodok Pokak tiap petang untuk makanan petang Abah balik kerja.

Posted by Abang Bosa at 1:22 PM
Post Comment | Permalink
TAJAM BATU

Satu aktiviti niaga yang mengasyikkan ialah India tukang asah batu giling. Beliau datang mengikut jalan belakang rumah terus kedapur untuk mengasah pisau dan parang dan juga batu penggiling menggunakan tukul dan paku besi besar.

Batu penggiling lada akan menjadi licin sesudah lama dipakai dan gilingan lada tidak halus lagi. Pakar pengasah ini akan menggunakan paku besar yang diketuk dengan tukul besi untuk membuat lubang lubang kecil yang dicorakkan diatas batu penggiling itu mengikut kemampuan artistiknya. Sambil menyanyi lagu lagu Tamil tangan yang memegang tukul akan menari nari mengikut paku yang mencorak lubang lubang dipenggiling itu. Ini memang satu specialty yang susah di tiru. Lagi cantik coraknya lagi mahal upahnya. Kerja ni tak boleh ditengok rapat rapat nanti terpercik serpih batu dimata.

Posted by Abang Bosa at 1:20 PM
Post Comment | Permalink
SEKOLAH MELAYU PASAR ROAD

Abang Bosa pergi sekolah ketika umur 6 tahun lagi. Jalan kaki sahaja kesekolah Pasar Road dibelakang Mesjid Alam Shah, sekolah Melayu. Minggu pertama diteman hantar oleh kak Ngah Zawiyah. Apabila kak Ngah balik, Abang Bosa pun balik. Keadaan memeningkan ini berterusan sehingga seminggu, kemudian pelahan pelahan ia berani.

Cik Gu Rahimah pernah silap memarahinya menconteng muka dengan kapur oleh kerana bertukar papan batu jawapan congak murid lain, walhal Abang Bosa dapat markah 10 par 10. Papan batu dipadam dengan air bunga, tetapi murid lelaki pakai air ludah saja. Eeeii!! pengotor nya Abang Sudin nii!!. Kalam, ketika baru dibeli, panjang panjang belaka, tetapi selalunya kalam kontot lah dipakai. Kalam diasah dilantai simin bilik darjah atau ditepi longkang.

CikGu suka menyuruh buat buku tampal (cut and paste) gambar gambar. Maka hari hari adalah yang disuruh dirumah untuk memasak kanji buat gam. Nak beli gam tak tahu.

Untuk mendapatkan supply gambar Abang Bosa selalu mencari cari di tong tong sampah belakang kedai berdekatan rumah atau ditepi jalan, kertas kertas balutan tin tin buah buahan atau tin sardine. Selalu nya dapat gambar gambar lukisan atau photo buah buahan apple, orange, tomato, lada, pisang, ikan, dengan warna warna cantik. Gambar ini akan dipotong dikelilingnya dan disusun gam didalam buku, dan Cik Gu akan memberi markah. Selalunya dirumah apabila ada yang membeli buah buah dalam tin, susah nak tahu isinya, oleh kerana kertas balutannya yang bergambar sudah hilang terlebih dahulu. Disinilah bermula kebolehan penghayatan artistik Abang Bosa.

Bangunan kayu sekolah Pasar Road sudah tidak ada lagi, tetapi satu dua pokok teratai besar original masih lagi tegak sekarang. Pokok teratai mengeluarkan biji saga. Mainan biji saga adalah seperti mainan carrom sekarang.

Dibawah pokok ditepi jalan berhadapan Mesjid Alam Shah di laluan ulang alik kesekolah, ada stall beroda Cina menjual air batu kepal sirap susu kacang dan jeruk jambu batu beweh. Jambunya tidak dipotong potong tetapi dijeruk sebiji sebiji dalam air kuning.

Dalam perjalanan balik sekolah selalu singgah disini kalau ada lagi tinggal duit belanja. Dan pucat kesejukkan lah tapak tangan dalam menghisap air batu kepal dengan sirapnya meleleh kesiku semasa berjalan balik kerumah. Selagi air batu belum habis, maka kaki pun perlahan lah melangkah, takut nanti Abang Kocik yang belum lagi bersekolah meminta minta pula dirumah.

Posted by Abang Bosa at 1:20 PM
Post Comment | Permalink
LAKE GARDEN

Pada hujung minggu keluarga sering berkelah di Lake Garden (Taman Tasek Perdana). Naik bas Tong Foong dari rumah dan transit di Foch Avenue, naik bas hijau GTC ikut Jalan Sulaiman sekarang dan Jalan Bangsar ke Lake Garden.

Semua bas dari selatan Kuala Lumpur transit di Foch Avenue dekat Petaling Street. Kemudian tukar dengan bas hijau GTC ke tempat tempat yang hendak di tuju.

Selalunya pergi pada pagi Ahad dan makan tengah hari disana. Tasek sebesar tasik sekarang, dan tidak ada tepian simin. Banyak ikan dan pokok keladi. Kelompok rumpun rumpun buluh sungguh tinggi memberi teduhan menyejukkan luas dibawahnya. Rumput dipotong rapi dan licin dengan sabit pendek dan panjang (scythe). Suasana tenang dan kawasan taman yang luas menimbulkan rasa kebebasan dan kepuasan bermain lari lari dan kejar kejar.

Ais krim tikam dan ais krim potong berkacang dihujung nya sudah ada. Kayu nya lidi dua tiga batang. Magnolia belum ada lagi. Juga ada India kacang putih dan kacang kuda menjunjung bekas kacang yang berkaki dikepala lalu lalang dihadapan anak anak. Aaahh!! Sungguh bahagia kehidupan.

Tetapi nyamuk Anopheles dan Culex banyak ada. Abahsendiri ada terkena demam malaria selepas balik dari Lake Garden ini. Kami semua bergilir gilir menghimpit tubuhnya dengan tilam semasa serangan menggigil gigil malaria datang.

Disatu sudut hujung tasek itu diatas bukit ada satu bangunan besar. Kami melihat ramai orang puteh keluar masuk bangunan itu. Waktu itu kami tidak tahu nama bangunan itu Carcosa. Disatu sudut lagi terdapat rumah besar Resident orang putih.

Satu lagi tempat di Lake Garden yang eksklusif untuk orang putih ialah Lake Club, terletak disatu sudut taman itu.

Di lokasi Museum Negara sekarang terdapat bangunan Musium Kuala Lumpur dahulu, tetapi kami tak pernah masuk, tak tahu pun apa makna Musium. Museum Kuala Lumpur atau Museum Selangor ini telah tersalah bom oleh Bomber B29 America pada 10 March 1945, 3 hari selepas Abang Bosa lahir. Atap nya runtuh mendedahkan bahan bahan didalamnya kepada hujan dan matahari. Jepun telah memindahkan bahan bahan ini ke MuseumPerak di Taiping pada Januari 1946.

Pada 1952, Sir Gerald Templer telah mengarahkan bangunan satu tingkat mengganti nya.

Posted by Abang Bosa at 1:16 PM
Post Comment | View Comments (1) | Permalink
PANGGUNG LIDO

Malay Film Productions terus mengeluarkan filem filem P. Ramlee yang masih lagi kurus. Beliau masih lagi digajikan waktu itu. Filem pertama sejak kami berpindah ke Kuala Lumpur ialah Penghidupan, kemudian dituruti oleh Sejoli, Juita, Antara Senyum dan Tangis, Patah Hati, dan Anjuran Nasib. Miskin tidak ditayangkan dan Sedarah adalah filem terakhir sebelum keluarga berpindah ke Jasin Melaka. Kadang kadang Omak dan Abah membawa kami menonton bersama, kadang kadang mereka pergi berdua. Omak tidak ada membeli rekod 78rpm diKuala Lumpur kerana tidak tahu kedainya

Kebanyakkan Filem Melayu ditayangkan di Panggung Lido, Brickfields (dua bas hendak kesana).Pernah Pok Ngah Latip dan Pu Long Udin datang ke Kuala Lumpur dan membawa Abang Bosa menengok Antara Senyum dan Tangis di Lido.

Panggung Alhambra (Pavilion sekarang) dihujung Jalan Bukit Bintang tak ada menunjukkan filem Melayu. Filem Samson and Delilah yang dibintangi Victor Mature ada ditayangkan disitu.Termasuk juga The Robe dan Demetrius and the Gladiators, juga dibintangi Victor Mature dan Rita Hayworth. Quo Vadis juga ditayangkan dibintangi oleh Robert Taylor. Tidak semuanya dapat kami tengok.

Tiap tiap pertukaran filem senang ditengok dipanggung Alhambra ini, oleh kerana panggungnya terletak ditepi jalan dari Peel Road ke Foch Avenue. Seawal waktu itu lagi Abang Bosa sudah tahu makna Now Showing, Next Change dan Coming Soon. Waktu itu belum tahu lagi menengok jadual wayang di surat khabar.

Perjalanan bas dari Peel Avenue ke Foch Avenue lalu ditepi Pudu Gaol.

Panggung Rex sekarang ini belum ada waktu itu tetapi dibelakang nya ialah panggung Madras yang telah dibakar, katanya, oleh kominis. Panggung Odeon sekarang ini sudah ada, dan pernah kami menumpangkan Puk Long Ahmad Mogah kesini menengok cerita Love Me or Leave Me dibintangi oleh Jane Russel dan Doris Day dalam perjalanan melawat Abang Anon dan Kak Sinah di Sentul.

Sesekali ada kita mendengar sebutan Bukit Bintang Park, apabila 4 Uncle Musketeers datang enjoy di KL. Anak anak tidak dibenarkan ikut, kerana mereka selalu balik lewat malam. Lagi pun Abah dan Omak pun tak ada pergi kesitu.

Tempat tempat seperti Gombak, Batu Caves, Klang, Kepong ada kami dengar tapi tak pernah pergi. Bungsar masih lagi hutan dan Petaling Jaya belum wujud.

Posted by Abang Bosa at 1:14 PM
Post Comment | Permalink
FMS RAILWAYS

Bangunan Stesyen Keretaapi Kuala Lumpur dan Bangunan Pentadbiran nya tidak berubah bentuknya dari dahulu. Apa yang thrilling distesyen itu ialah jalan bawah tanah yang menyambungkan platform 1 dan 2 dan 3 dan 4.

Sungguh seronok lalu disitu memikirkan kereta api berat panjang berjalan diatas kepala kita. Kereta api menggunakan enjin wap dari syarikat Federated Malay States Railways (FMSR). Kelas 1, 2 dan 3 dah ada. Oleh sebab Abah pegawai kerajaan jawatan tinggi, dapat juga merasa duduk dikelas 1. Oleh sebab masih kecik lagi, tak ada chan nak duduk diatas tangga ketika kereta api bergerak.

Di padang Selangor Club selalu ada mainan kriket oleh orang putih dan benggali pada waktu petang dan hujung minggu.

Kami hanya menengok dari jauh oleh sebab tak dibenarkan berada dekat kawasan kelab house itu.

Mesjid Jamek adalah mesjid besar bandar Kuala Lumpur.

Posted by Abang Bosa at 1:13 PM
Updated: Tuesday, 1 March 2005 1:17 PM
Post Comment | Permalink
PARTI NEGARA

Pada tahun 1951, Dato Onn meletakkan jawatan Presiden UMNO kerana UMNO menolak cadangan nya untuk membuka keahlian parti kepada semua kaum. Maka lahirlah Parti Negara. Ongah Baba yang menjadi penyokong setia Dato Onn turut meninggalkan UMNO. Selepas Parti Negara gagal, ramai yang menyatakan Ongah Baba tak sepatutnya meninggalkan UMNO. Kalau tidak beliau dah boleh jadi Menteri Besar Negri Sembilan dah.

Tunku Abdul Rahman mengambil alih jawatan Dato Onn dalam UMNO. Pada awal tahun 50an kerajaan kolonial mensyaratkan kemerdekaan hanya akan diberi kepada pimpinan kerajaan yang belbagai bangsa. UMNO memerlukan keewangan MCA, dan MCA yang kurang mendapat sambutan kaum Cina perlukan sokongan UMNO untuk mendapatkan undian. Beginilah permulaan Parti Perikatan (Alliance Party) dan mungkin juga budaya kronisma yang berleluasa sekarang.

Kami mula mengetahui makna perkataan komunis apabila bas Tong Foong dibakar dipenghujung Jalan Peel Avenue (Jalan Cochrane sekarang), tidak jauh dari rumah. Semuanya tak berani pergi tengok dekat dekat, hanya melihat asap tebal hitam dari jauh berkepul kepul naik keatas dari atap atap rumah berdekatan.

Pada October 6 1951, kami telah dikejutkan oleh Abah yang balik dari pejabat membawa berita yaitu, Sir Henry Gurney, British High Commissioner di Malaya, telah terbunuh dalam serang hendap gurila kominis keatas keretanya dalam perjalanan ke Fraser's Hill. 13 askar orang putih juga mati.

Pada Februari 1952, Lieutenant General Sir Gerald Templer tiba di Malaya sebagai Pesuruhjaya Tinggi. Tugas utamanya ialah membanteras pengganas kominis. Beliau memahami hati rakyat dan turun kepadang sendiri untuk mendapat maklumat asli. Dan beliaulah yang pertama sekali menmanfaatkan polis Special Branch dalam kerjaya merisiknya. Pada beliau 'masa yang digunakan untuk merisik adalah masa yang tak pernah terbuang'. Isteri dan anak perempuannya banyak memberi masa mereka kepada pertubuhan Red Cross dan hospital hospital.

Di Tanjung Malim, pada bulan March 1952, satu pasukan polis telah meng-escort pekerja pekerja untuk membaikki paip air yang telah dimusnahkan oleh pengganas. Lebih dari 40 pengganas telah menyerang hendap mereka, dan 11 anggota patrol itu telah mati termasuk ADO. Senjata senjata mereka dirampas kominis. Sebelum ini Gordon Highlanders telah kehilangan 7 anggota ditempat yang sama.

Templer telah menghukum bandar itu. Sekolah dan kedai ditutup, perjalanan bas dihentikan dan perintah berkurung (curfew) berkuatkuasa 22 jam sehari. Bekalan beras diseparuhkan dari 5 kati sekepala seminggu kepada 3 kati. Dua kali beliau menghantar borang borang maklumat 'ZZ' untuk dijawab oleh tiap tiap rumah di Tanjung Malim dan hasil isinya diperiksa di King's House di Kuala Lumpur. Dua hari selepas itu Special Branch menahan 35 orang dan curfew diangkat. 3500 orang Cina masuk Home Guard dan diberi shot gun. Selepas itu bandar Tanjung Malim menjadibandar yang paling aman semasa dharurat. Templer telah menghadiahkan RM2500 untuk pengganas rank-and-file dan RM100,00 untuk pengganas berpangkat tinggi, dan beliau juga menghadiahkan pengganas yang menyerah diri sendiri dan juga mereka mereka yang membantu penyerahan diri ini.

Posted by Abang Bosa at 1:11 PM
Updated: Tuesday, 1 March 2005 1:17 PM
Post Comment | Permalink
PINDAH KE MELAKA

Persiapan hendak pindah ke Melaka berjalan dengan penuh antisipasi kegembiraan. Ramai jiran jiran kawan kawan naik dengki dengan kami kerana mereka mengatakan Melaka ditepi laut, jadi mereka ingat dan memberitahu kami yaitu rumah yang akan datang mesti lah ditepi laut juga. Waahh!! Best nya (bukan istilah dahulu). Hari hari mandi laut. Boleh naik sampan.

Beg beg kulit besar dan kotak kayu besar yang masih bertanda 'Southampton' yang Abah bawa balik dari England dahulu diisi satu persatu dengan barang barang yang jauh lebih banyak dari yang kami bawa pindah dari Rembau dahulu. Kain kain yang tak muat dalam beg diikat dalam buntir kain. Maka semua kain kain sarung dan pelikat digunakan untuk buat buntir. Yang tak bawa hanya katil dan almari kerusi meja PWD. Satu lori PWD besar penuh dengan muatan bermalam dengan drivernya tidur dirumah menunggu esok pagi pagi bertolak. Sungguh seronok rasanya hendak adventure esok hari ini, susah nak lelapkan mata.

Bertambah seronok dan happy sungguh esok harinya apabila Abang Bosa diberi peluang duduk dalam lori, mula mula ingatkan dibelakang dengan barang barang, tapi ditempat duduk depan sebelah driver. Tak apalah. Yang lain lain naik kereta Ongah Baba yang turut menghantar, atap kainnya dinaikkan dahulu, takut hujan.

Ada cerita kelakar mengenai kereta Ongah Baba ini. Pintukirinya (kereta ini dua pintu) tak kuat kuncinya dan pernah pada suatu ketika dalam perjalanan dari Rembau ke Seremban Mak Ongah terjatuh keluar ketika corner apabila pintunya terbuka sendiri. Ada pula ketika lain Ongah Baba sengaja menggesel India tua yang naik basikal hoyong hayang mabuk dihadapannya tak mahu ketepi.

Posted by Abang Bosa at 1:09 PM
Updated: Tuesday, 1 March 2005 1:18 PM
Post Comment | Permalink

Newer | Latest | Older